Bangsa dan agama: Perbezaan antara Malaysia dan ‘Darul Injil’ — Juana Jaafar

Bangsa dan agama: Perbezaan antara Malaysia dan 'Darul Injil' — Juana Jaafar

30 OKT — Pelbagai pergerakan yang muncul dari kalangan masyarakat Melayu-Islam Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini membuat penulis teringat kepada pengalaman dan pemerhatian yang dibuat semasa menuntut di Amerika Syarikat tak lama dahulu.

Khususnya, di negeri-negeri selatan Darul Injil atau "Bible Belt".  Masyarakat di sana secara umumnya konservatif dan pengaruh gereja di peringkat komuniti juga amat kuat.

Tak kira samada di kawasan majoriti berkulit putih, hitam mahupun Latino, pengaruh agama dalam membentuk masyarakat di negeri-negeri selatan Darul Injil jelas dalam kehidupan harian dan politik mereka.

Perkara ini juga dapat di lihat di kalangan masyarakat Melayu-Islam Malaysia sejak lebih kurang 20 tahun yang lalu. Bezanya di Malaysia kuasa masjid dan surau masih terletak secara langsung dalam tangan kerajaan dan parti-parti politik.

Dari aspek kehebatan penyebaran dakwah juga lebih kurang sama seperti di Malaysia hari ini di mana terdapat pelbagai bentuk dakwah dalam akhbar, televisyen dan radio. Tambah lagi di negeri-negeri selatan Darul Injil masih kelihatan kesan sejarah Konfederasi Selatan ke atas masyarakat di sana.

Di kalangan golongan berkulit putih Kristian masih ada yang mengibarkan bendera Konfederasi di laman kediaman dan kenderaan mereka. Budaya ini wujud meskipun sudah lebih satu abad sejak berakhirnya perang saudara di antara pihak Konfederasi dan negeri-negeri Perikatan Utara. 

Lambang Konfederasi kini secara amnya dipandang hina oleh masyarakat umum kerana membawa maksud kebanggaan ketuanan masyarakat berkulit putih terhadap bangsa-bangsa lain serta penerimaan kaedah penggunaan hamba abdi dalam sistem ekonomi tempatan.

Ia juga disangkutkan dengan sejarah keganasan puak berkulit putih haluan kanan, Ku Klux Klan, terhadap masyarakat berkulit hitam. Perangkap di atas tidak boleh disamakan terus dengan mana-mana puak Melayu-Islam di Malaysia.

Sejarah Konfederasi berasal dari puak kolonial berkulit putih yang memegang kuasa politik dan ekonomi sehingga hari ini. Masyarakat Melayu-Islam pula sebuah masyarakat yang pernah dijajah oleh kuasa kolonial dan pernah kehilangan kuasa politik dan ekonomi selama bergenerasi walaupun sistem monarkinya terus wujud. 

Selain itu, puak-puak politik Melayu-Islam terhasil daripada pengalaman kolonialisme, maka dari aspek asal-usul dan psikologi amat berbeza.

Namun, dalam konteks sosio-politik komtemporari masyarakat Melayu-Islam muncul bibit-bibit persamaan dengan politik Konfederasi masyarakat berkulit putih Kristian di selatan Darul Injil dahulu. 

Walaupun sasaran ekuiti untuk masyarakat Melayu-Islam dikatakan masih belum tercapai, kewujudan dan perkembangan kelas pertengahan golongan ini menunjukkan bahawa kedudukan ekonomi mereka semakin kukuh. 

Dari segi politik pula kuasa masih lagi dipegang oleh parti-parti politik Melayu-Islam walaupun terbahagi kepada dua kelompok yang bertentangan. Selagi masyarakat Melayu-Islam terus memilih wakil mereka berdasarkan bangsa dan agama, maka kuasa politik mungkin akan terus dipegang oleh puak-puak politik Melayu-Islam. 

Kombinasi kekuatan ekonomi dan politik memberi masyarakat kontemporari Melayu-Islam kuasa yang besar. Tapi, jika kuasa itu terus ditumpukan kepada agenda "ketuanan Melayu-Islam", maka senang terjebak dengan budaya sosio-politik seperti pada zaman "kegemilangan" Konfederasi masyarakat berkulit putih Kristian di selatan Darul Injil yang dikatakan tadi.

Kuasa dalam tangan akan digunakan untuk menindas elemen-elemen yang disyaki menggugat kedudukan mereka. Malaysia mungkin masih belum melihat sebuah pergerakan ganas seperti Ku Klux Klan, tapi kita sudahpun ada puak-puak yang mirip sepertinya yang melafazkan niat sanggup bertumpah darah.

Perlu diingatkan di sini bahawa semboyan "14 words" Ku Klux Klan tidak banyak berbeza dari slogan puak-puak politik Melayu-Islam di Malaysia. Yang lebih membimbangkan, perlaksanaan undang-undang negara hari ini nampaknya lebih berpihak kepada puak-puak ini. 

Jika masyarakat Melayu-Islam Malaysia tidak mula bermusabahah diri, kemungkinan boleh tersungkur jauh ke hala ekstrimisme seperti yang dilihat berlaku dalam sejarah di selatan Darul Injil. Mereka akan dipandang hina oleh masyarakat dunia bertamadun termasuk masyarakat Malaysia yang lain.

Biarpun satu abad berlalu, kesan kurap dari segala gejala ekstrimisme itu mungkin akan terus dirasai oleh masyarakat umum dan imej Islam pula akan terus tercemar.

Janganlah kita mudah terpedaya dengan lafaz nawaitu Islam mana-mana puak seperti ini. Malah, Ku Klux Klan juga menganggap puak mereka puak yang soleh dan beriman.

* This is the personal opinion of the writer or publication, and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider :: Side Views

Comments

Popular posts from this blog

All Anwar Ibrahim Sex Videos (Warning: Explicit)

YB SEX SCANDAL - PART 4 (from Sabahkini)- in Malay

YB SEX SCANDAL - PART 3 (from Sabahkini)- in Malay