Kes Irshad Manji: Terima sahajalah keputusan golongan bijak pandai agama

Azmi Anuar

irshad-manjiJabatan Agama Islam Selangor semalam menahan pengarah sebuah syarikat penerbitan berhubung pencetakan buku kontroversi 'Allah, Kebebasan dan Cinta'.

Jais telah menyerbu premis ZI Publication di Merchant Square, Petaling Jaya sekali dengan waran untuk menangkap Ezra Zaid. Beliau disiasat di bawah Seksyen 16 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) atas tuduhan menerbitkan buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Serentak itu, 180 naskah buku berkenaan oleh penulis Irshad Manji juga dirampas.

Jutaan terima kasih harus diberi kepada Kementerian Dalam Negeri kerana mengharamkan penerbitan buku itu dan versi bahasa Inggerisnya 'Allah, Liberty and Love' atas alasan mengelirukan orang awam.

Sekalung tahniah juga harus diberi kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang sebelum ini berjaya merampas empat naskah versi bahasa Inggeris dan tiga terjemahan bahasa Melayu buku tersebut. Tindakan Jawi pula dijalankan sebelum pengumuman pengharaman buku-buku tersebut.

Buku karangan Irshad Manji sebelum ini, 'The Trouble with Islam Today' telahpun diharamkan pada tahun 2009.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abu Seman Yusop berkata perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya "boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam".

Buku tersebut dikatakan menyeru kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan menolak konsep ijmak. Dengan itu, ia dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-hadis.

Tindakan proaktif pihak berkuasa memang amat dialu-alukan kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telahpun memutuskan tulisan Irshad Manji dalam buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' bertentangan dengan ajaran Islam.

Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal agama Islam, dipetik berkata keputusan itu diambil selepas kajian mendapati buku tersebut mengandungi unsur liberalisme dan boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

Bumi bertuah, rakyat bersyukur

Sekali lagi rakyat beragama Islam di Malaysia amat bertuah kerana dapat terus menikmati perlindungan di bawah naungan pihak berwajib – pasti ramai mereka-mereka ini di Jais, Jawi, Jakim dan juga di jabatan Dr Mashitah – yang amat prihatin tentang akidah kaum Muslim.

Pakar-pakar dalam bidang agama telah berkorban membaca terlebih dahulu sebuah buku yang boleh memesongkan akidah orang ramai yang sudah semestinya tidak luas dan mendalam pengetahuan agama kita.

Pandangan supaya kita sendiri membaca buku ini terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan tidak boleh diterimapakai sama sekali.

Pegawai-pegawai yang berkhidmat di Jakim, Jabatan Agama setiap negeri dan Kementerian Dalam Negeri bukan calang-calang orangnya. Merekalah yang mewakili rakyat terbanyak di barisan hadapan menghadapi segala ancaman yang datang dari segala sudut sama ada dalam bentuk fizikal atau intelektual.

Orang yang tidak bertauliah, macam kita, tidak perlulah memerah otak memikirkan tentang perkara-perkara yang bukan dalam bidang pengkhususan masing-masing. Terima sahajalah keputusan bernas yang telah dipersetujui oleh bijak pandai agama di negara ini.

Walaupun ada pandangan bahawa tanggungjawab memahami masalah dan menghadapinya melalui saluran pendidikan tidak dapat diabaikan namun kita yakin pihak yang berkuasa telah mengambilkira faktor-faktor ini sebelum mengharamkan buku tersebut.

Pihak yang berkuasa juga sedar bahawa dunia Internet yang tidak terbatas boleh menyebabkan buku itu menemui khalayak pembaca tanpa perlu memilikinya secara fizikal. Kita menaruh harapan bahawa pihak berkuasa akan berjaya pula mengekang penyebaran idea-idea pengarang ini di dunia siber.

Kekang Islam di Internet pula

Malaysia yang telah mempelopori Koridor Multimedia yang memungkinkan dunia tanpa sempadan diyakini mempunyai kemahiran untuk membanteras idea yang tidak sealiran dengan apa yang ditelah dipersetujui dan diputuskan oleh panel cendekiawan negara.

Dunia Internet ada kebaikannya tetapi kita mesti sentiasa berhati-hati supaya idea yang bertentangan tidak lolos dan meracuni akal fikiran rakyat negara ini. Tambahan pula jika idea itu mengajak kita menggunakan akal fikiran semata-mata.

Kita amat yakin bahawa keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah bersesuaian dengan tahap pemikiran dan akal rakyat Malaysia yang beragama Islam ketika ini.

Pihak berwajib tidak mahu penganut agama Islam yang bercelaru pemikirannya dan sekurang-kurangnya pengharaman buku ini akan menghindarkan kita daripada menghadapi gejala itu.

Sekali lagi kita mesti faham dan sedar bahawa tidak semua yang boleh menafsir dan memahami segala yang tersirat dan tersurat dalam bidang agama Islam. Hanya mereka yang telah mempelajari dan mendalami segala aspek bidang itu yang berhak memberi tafsiran dan keputusan muktamad tentang sesuatu isu yang berbangkit. Janganlah memandai-mandai dengan ilmu di dada yang tidak seberapa hendak menduga lautan dalam. Kalau kail panjang sejengkal pandai-pandailah mengail di air yang tenang sahaja.

Ada pula yang berpendapat yang dia telah lebih rapat dengan agama Islam setelah mengetahui tentang Irshad Manji dan membaca pandangan-pandangan pengarang itu. Dia mendengar Irshad memperkatakan tentang agama Islam. Irshad menceritakan tentang perasaan belas kasihan, bermurah hati, cinta dan kebebasan juga ijtihad, pemikiran secara kritis dalam lingkungan agama Islam.

Semua konsep ini mungkin bertentangan dengan apa yang telah termaktub dalam kitab-kitab agama Islam yang tersohor. Oleh itu pandangn yang tidak sealiran dengan apa yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut pastilah mesti ditentang dan langkah pertama ialah pengharaman buku yang memuatkan idea-idea ini.

Mungkinkah pembaca ini merupakan salah seorang anak muda yang telah diracuni fikirannya? Hakikat bahawa Irshad Manji terangan-terangan mengakui diri sebagai seorang penganut agama Islam yang berpandangan liberal dengan pelbagai tafsiran yang songsang memberi amaran kepada semua bahawa mengenali Islam dengan lebih dekat melalui pendekatan wanita ini tidak boleh diterima langsung.

Tanpa Irshad pun tentu ramai ahli agama Islam yang boleh menarik minat mereka yang masih terumbang-ambing dalam pegangan beragama.

Melayu-Islam senantiasa 'diancam'

Bukanlah mudah menjaga akidah penganut agama Islam di Malaysia daripada terpesong angkara ancaman pengaruh luar yang sentiasa cuba melemahkan penganut agama ini.

Penganut agama ini memanglah kukuh imannya tetapi mesti sentiasa dibajai dan diberi perhatian supaya tidak terabai. Pihak berkuasa memang sentiasa memantau supaya penganut agama Islam di Malaysia terpelihara daripada dakyah yang tidak diingini dalam apa juga bentuk pun.

Ketika negara cuba bergerak maju dalam acuan agama Islam yang benar, ramai pula yang mahu mematahkan semangat juang pendokong dan pembela agama di sini.

Umum mengetahui bahawa pihak berkuasa mesti diberi sokongan padu sepenuhnya supaya anasir-anasir jahat sama ada yang menjadi gunting dalam lipatan atau yang terang-terangan mencemuh apa yang telah dipersetujui oleh pakar dan ahli agama.

Pihak berkuasa agama dan negara adalah pembimbing kepada yang lain. Mungkin tafsiran tentang ayat pertama di dalam Al-Quran iaitu Iqra ('Bacalah') mengikut acuan Jakim dan Jabatan Agama setiap negeri perlu disebarluas semula supaya penganut agama Islam di Malaysia tidak keliru lagi.

Read More @ Source

Hanya Barisan Nasional Sahaja Boleh Tolong Rakyat - Noh Omar 28/12/2011

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar Berkata Hanya Barisan Nasional Sahaja Boleh Menolong Rakyat Tanpa Mengira Kaum.Tidak Seperti Pakatan Rakyat Selangor.Beliau Berucap Ketika Melawat Karnival Sayangi Selangor Hari Ini 28/10/2011 Maklumat Lanjut Sila Layari www.klpos.com

Video Rating: 2 / 5

More » Barisan Nasional (BN) | Pakatan Rakyat (PR) | Sociopolitics Plus | 大马社会政治

Comments

Popular posts from this blog

All Anwar Ibrahim Sex Videos (Warning: Explicit)

YB SEX SCANDAL - PART 4 (from Sabahkini)- in Malay

YB SEX SCANDAL - PART 3 (from Sabahkini)- in Malay